Pages

Monday, March 4, 2013

Siapa Sultan Kiram ..?

Laporan di atas begitu jelas keluarga Kiram sedang bermain di hadapan. Sedangkan siapa di belakangnya itu masih menjadi tandatanya. Kalau pun sudah ramai yang meneka bahawa ia digerak oleh KUASA BESAR DUNIA itu namun masih berteka teki untuk tujuan apa. Adakah sindrom ARAB SPRING itu bakal dihidapi oleh Malaysia Timur ini sebelum ia menular keseluruh negara masih tidak dapat dipastikan.

Sebenarnya banyak pihak yang keliru berkenaan status SULTAN KIRAM ini. Siapa KIRAM? Keluarga Kiram dari jalur kesultanan Sulu ini bermula pada pemerintahan Sultan Muhammad Jamalul Kiram I (1831842) bin Sultan Muhammad Alimuddin III (1808). -Rujuk Rajah A2 di bawah.


Rajah A2

Dari Jamalul Kiram I inilah bermulanya nama Kiram yang kita kenal hari ini yang kemudian nama ini berakhir pada kewafatan Sultan Jamalul Kiram II (1884-1936) yang mangkat tanpa zuriat ketika zaman kedatangan Amerika Syarikat ke Sulu. Selepas ini tiada lagi Sultan Sulu yang diterima oleh rakyat Tausug disebabkan dominasi Amerika Syarikat itu. Hal ini dilihat oleh rakyat bahawa Sultan dari keluarga Kiram adalah tali barut Amerika Syarikat yang tergamak merestui pembunuhan para keluarga Datu dan Syarif Tausug di Bud Bagsak dan Bud Dahu.

Sultan Kiram terakhir itu terpaksa memberikan restu kepada Amerika Syarikat membunuh muslimin rakyatnya sendiri berjumlah labih 4000 orang (yang syahid 1600 orang termasuk wanita dan kanak-kanak) yang memilih menentang USA dan arahan Sultan. Tausug menentang Sultan kerana bersekongkol dengan USA yang terkeluar dari undang-undang Darul Islam yang mana Tausug enggan dikutip cukai kepala oleh USA. Menurut Tausug, Allah swt tidak pernah berfirman kepada RasulNYA untuk mengutip cukai kepala kepada ummah. Maka Tausug beramai-ramai naik ke gunung duduk di gua batu sebagai mana ASHABUL KAHFI. Hal ini bagi mereka adalah fitnah besar yang mengancam akidah mereka maka wajib meninggalkan kemewahan kampung halaman menuju ke gunung untuk selamat dari fitnah itu. Sebaliknya mereka dibunuh oleh Amerika atas restu Sultan KIRAM.




1000 jiwa para Syuhada' Tausug yang mempertahankan diri dan keluarga mereka dari serangan Amerika Syarikat di Bud Dahu'. Ashabul Kahfi ditidurkan dan bangkit semula dengan izin Allah setelah beberapa ratus tahun, namun Syuhada' Tausug ini ditidurkan buat selama-lamanya sehinggalah hari KEBANGKITAN.

Hari ini, kita dikejutkan dengan kedatangan tentera KIRAM yang mengaku sebagai tentera Sultan Sulu. Keluarga Kiram sangat ramai. Ada keluarga dari sebelah Puteri Piyandao bin Sultan Badaruddin I, ada Kiram dari jalur keluarga Sultn. Esmail I (ini yang serahkan Sulu kepada Filipina pada tahun 1962) bin Rajamuda Mawallilwasit, ada Kiram dari Datu Punjungan bin Rajamuda Mawallilwasit (inilah ayahanda Jamalul Kiram III yang kerahkan tentera upahan ke Lahad Datu), dan banyak lagi kiram yang sekarang sedang merancang untuk menjadi Sultan kesemuanya.

Kalau ada 1000 lelaki kiram hari ini, maka Sulu akan ada 1000 sultan yang mengaku Sultan Sulu dari keluarga Kiram. Berebut menjadi Sultan tanpa rakyat, masuk bakul angkat sendiri. Tanpa pengetahuan sejarah protokol kesultanan, tanpa mengetahui tertib pertabalan, tanpa mengetahui adat para Datu dan Syarif Tausug. Jadilah seperti Kiram yang kita lihat hari ini.

Tahukah anda bagaimana Sultan Sulu ditabalkan oleh rakyat, kehendak rakyat, kehendak para Datu dan Syarif? Tahukah anda bahawa kehilangan institusi kesultanan Sulu itu hanya dapat kembali dengan menyedarkan Tausug agar MEMBUANG KEWARGANEGARAAN FILIPINA menggantikannya kepada RAKYAT SULU secara hakiki (Independen)?

Sebab itu muncul seorang pembela dari keluarga Maharaja Adinda Aranan Puyo (rujuk Rajah A2, lihat bulatan berwarna kuning) masuk ke kampung-kampung tanpa rasa takut membangkitkan semangat juang Tausug tanpa senjata, memacak bendera Sulu Darul Islam terakhir sambil melaungkan ALLAHU AKBAR!! TAUSUG BANGKIT!! KALIAN BUKAN FILIPINO HAMBA KEPADA KING PHILIP II SPANYOL!! KALIAN ADALAH MERDEKA SEJAK SULTAN SYARIFUL HASYIM MENYATUKAN KITA DENGAN DARUL ISLAM!! TAUSUG BANGKIT!!

Beliau ialah cucu kepada Datu Aranan Puyo ini adalah cicit SULTAN BANTILAN MUIZZUDDIN I (1748-1763, rujuk rajah A2) yang digelar oleh ahli sejarah dunia sebagai DEFENDER OF ISLAM. Sempena nama moyangnya ini maka Baginda dinamakan Sultan BANTILAN MUHAMMAD MUIZZUDDIN II. Setelah berjaya menghimpunkan puluhan ribu penyokong di Jolo, beliau diangkat menjadi Sultan Sulu yang berdaulat pada tanggal 19 Mac 2009 oleh rakyat jelata dengan laungan takbir dan dendangan Salawat.



Sultan Bantilan II sedang berpidato di atas pentas di padang Capitol, Jolo, Sulu Darul Islam. Beliau dipaksa oleh rakyat menjadi Sultan Sulu pada tahun 2009. Seminggu Baginda dipujuk akhirnya dengan tangisan beliau menerimanya... baginya jawatan Sultan sangat berat dipikul dalam keadaan Sulu ketika ini. Namun air matanya tidak dapat menghalang rakyat untuk mengangkatnya menjadi Sultan Sulu Darul Islam. Tidak seperti Sultan-sultan KIRAM yang berebut-rebut mengangkat diri sendiri?

Sejak itu Keluarga KIRAM bungkam seribu bahasa. Hanya satu perkara yang boleh mereka buat ialah mencabar siapa sahaja dengan senjata. Walhal mereka tahu, bukan sahaja mereka yang pandai BERMAIN senjata. Semua TAUSUG semula jadi pakar bermain senjata, bukan hanya Kiram.

Sultan Bantilan II ini jauh lebih bijak walau tak pernah mencecah darjah 3 di sekolah Siasi. Namun Baginda adalah pemidato, pedagang yang berjaya, pandai mengatur manusia, handal dalam diplomasi, dan mendapat dokongan generasi muda Tausug. Berjiwa merdeka, tak seperti Kiram yang hanya mengusung bendera Filipina bersama mereka ke hulu ke hilir. Sultan Bantilan II walau bergerak secara aman tanpa senjata, anti peperangan dan anti keganasan, namun gerakannya ditakuti. Sehingga peluru musuh menjadi AIR dengan izin Allah swt.

Inilah pengikut Sultan Bantilan II yang ditembak oleh Filipina "Peluru menjadi air" (air bomba). Biasanya kita mendengar pembunuhan gunakan senjata api kepada penentang Filipina, tapi pengikut Sultan Bantilan II yang walau pun dengan slogan "NYAH FILIPINA DARI SULU!! INI HAK TAUSUG DAN KESULTANAN SULU" namun Filipina tidak dapat berbuat apa-apa.

10 Sebab mengapaSultan Sulu tidak layak menuntut SABAH

1. Waris Sultan Sulu telah menerima ‘cession money‘ sehingga ke hari ini. Ini bermakna waris Sultan Sulu mengakui bahawa Sabah telah diserah (ceded), dan bukannya dipajak (leased), kepada British North Borneo Company.

2. Kerajaan Filipina telah berhenti mengiktiraf Sultan Sulu sejak kemangkatan Sultan Mohd. Mahakuttah A. Kiram pada tahun 1986.

3. Geran pajakan yang dijadikan sumber konflik telah ditandatangani oleh Sultan Sulu, Sultan Jamalul A’lam dengan Gustavus Baron de Overbeck serta Alfred Dent, yang mewakili British North Borneo Company, pada 22 Januari 1878.

4. Sepanyol, yang menguasai wilayah-wilayah Kesultanan Sulu ketika itu, telah menandatangani perjanjian dengan Jerman dan Great Britain pada 7 Mac 1885 untuk melepaskan segala tuntutan terhadap kedaulatan Sabah.

5. Kesultanan Sulu dianggap telah tamat sebaik sahaja Sultan Jamalul Kiram II menandatangani Perjanjian Carpenter pada 22 Mac 1915, yang menyerahkan segala kuasa politik beliau kepada Amerika Syarikat.

6. Malaysia telah mengambil tanggungjawab untuk membangunkan prasarana bagi kemudahan para penduduk Sabah sejak 1963 tanpa bantahan Kesultanan Sulu mahupun kerajaan Filipina. Ini membuktikan pemilikan dan pentadbiran yang aman secara berterusan oleh kerajaan Malaysia ke atas Sabah. Mengikut dasar effectivites yang diambil kira oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ – International Court of Justice), Malaysia boleh dianugerahkan hak ke atas Sabah, sepertimana yang pernah diberikan kepada kerajaan Malaysia dalam kes Ligitan-Sipadan.

7. Laporan Suruhanjaya Cobbold yang dikeluarkan pada 1 Ogos 1962 mendapati bahawa 1/3 penduduk Sabah dan Sarawak menyokong kuat pembentukan Malaysia, 1/3 lagi menyokong projek Malaysia dengan syarat hak mereka dilindungi, manakala kumpulan 1/3 yang terakhir terbahagi antara mereka yang mahukan kemerdekaan dan mereka yang mahukan pentadbiran British diteruskan. Sepanyol, yang menguasai wilayah-wilayah Kesultanan Sulu ketika itu, telah menandatangani perjanjian dengan Jerman dan Great Britain pada 7 Mac 1885 untuk melepaskan segala tuntutan terhadap kedaulatan Sabah:

Article 3 The Spanish Government relinquishes as far as regards the British Government, all claim of sovereignty over the territories of the continent of Borneo which belong, or which have belonged in the past, to the Sultan of Sulu (Jolo), including therein the neighboring islands of Balambangan, Banguey and Malawali, as well as all those islands lying within a zone of three marine leagues along the coasts and which form part of the territories administered by the Company styled the ‘British North Borneo Company’. (Kerajaan Sepanyol melepaskan kepada Kerajaan British, semua tuntutan kedaulatan ke atas wilayah-wilayah benua Borneo yang dimiliki, atau yang telah dimiliki pada masa lampau, oleh Sultan Sulu (Jolo), termasuk pulau-pulau Balambangan, Banguey dan Malawali yang berhampiran, dan semua pulau-pulau yang berada di dalam zon tiga liga marin di sepanjang pesisir pantai dan membentuk sebahagian wilayah yang ditadbir oleh Syarikat yang digelar ‘British North Borneo Company‘.)

8. Setiausaha Agung PBB, U Thant, telah melaporkan pada 1963 bahawa penduduk Sabah “ingin menamatkan status kebergantungan mereka dan merealisasikan kemerdekaan mereka melalui penyekutuan yang dipilih secara bebas dengan bangsa lain dalam rantau mereka” (“wish to bring their dependent status to an end and to realize their independence through freely chosen association with other peoples in their region”).

9. Jika Kesultanan Sulu mendakwa bahawa Sabah adalah milik mereka, maka adalah konsisten bagi Kesultanan Sulu untuk tidak sahaja membuat tuntutan terhadap Sabah semata-mata, malah juga menuntut dan menguasai pusat pentadbiran mereka sendiri di Jolo, selain wilayah Palawan, Semenanjung Zamboanga, Basilan dan Tawi-Tawi di Filipina yang juga mereka dakwa merupakan milik mereka. Walau bagaimanapun, Kesultanan Sulu tidak memiliki apa-apa kuasa politik terhadap wilayah-wilayah yang terletak di Filipina ini.

10.Pajakan yang dikurniakan oleh Sultan Sulu dahulu merupakan penyerahan secara kekal sebagaimana yang dinyatakan dalam perjanjian tersebut "selagi ada bintang dan cakerawala". Disebabkan itulah, mana-mana waris Kesultanan Sulu pada hari ini tidak boleh lagi mempersoalkan apatah lagi menuntut kekuasaan terhadap Negeri Sabah

Sejarah Sultan Sulu

Pada tahun 1380, seorang ulama keturunan Arab, Karim ul-Makdum memperkenalkan Islam di Kepulauan Sulu. Kemudian pada tahun 1390, Raja Bagindo yang berasal dari Minangkabau[1] meneruskan penyebaran Islam di wilayah ini.

Hingga akhir hayatnya Raja Bagindo telah mengislamkan masyarakat Sulu sehingga ke Pulau Sibutu.[2] Sekitar tahun 1450, seorang Arab dari Johor iaitu Shari'ful Hashem Syed Abu Bakr tiba di Sulu. Beliau kemudian bernikah dengan Paramisuli, puteri Raja Bagindo.

Setelah kematian Raja Bagindo, Abu Bakr melanjutkan pengislaman di wilayah ini. Pada tahun 1457, ia menubuhkan Kesultanan Sulu dan memakai gelaran "Paduka Maulana Mahasari Sharif Sultan Hashem Abu Bakr".

Gelaran "Paduka" adalah gelaran tempatan yang bermaksud tuan manakala "Mahasari" bermaksud Yang Dipertuan.

Pada tahun 1703, Kesultanan Brunei memberikan Timur Sabah kepada Kesultanan Sulu atas bantuan mereka menumpaskan pemberontakkan di Brunei.

Pada tahun yang sama, Kesultanan Sulu menganugerahkan Pulau Palawan kepada Sultan Qudarat dari Kesultanan Maguindanao sebagai hadiah perkahwinan Sultan Qudarat dengan puteri Sulu dan juga sebagai hadiah persekutuan Maguindanao dengan Sulu. Sultan Qudarat kemudiannya menyerahkan Palawan kepada Sepanyol.

Kesultanan Sulu mempunyai Tartib (Protokol) yang tersendiri termasuk dalam hal pewarisan takhta.
Merujuk kembali kepada sejarah dan adat Kesultanan ini,

Kesultanan Sulu sebenarnya mempunyai dua pewaris (digambarkan dalam bendera Sulu) seperti berikut :

i. Pewaris Pertama - iaitu dari zuriat keturunan Sultan Azimuddin / Alimuddin I ibni Sultan Badaruddin I dari isterinya gadis Bugis dari Soopeng, Sulawesi. Digambarkan dalam bendera Sulu dengan Lambang Keris. Terbahagi kepada dua keluarga : a) Keluarga Kiram b) Keluarga Shakiraullah

ii. Pewaris Kedua - iaitu dari zuriat keturunan Sultan Bantilan Muizzuddin ibni Sultan Badruddin I, dari isterinya seorang Puteri anak pemerintah Puak Tidung di Kalimantan Timur, dikenali sebagai Keluarga Maharajah Adinda. Digambarkan dalam bendera Sulu dengan Lambang Tombak.

Kesultanan Sulu mewujudkan Pewaris Kedua sebagai "Penyelamat dan Penyambung" kepada Kesultanan Sulu, iaitu sekiranya hak Kesultanan Sulu berakhir di tangan Pewaris Pertama. Sejarah perkara ini perlu dilihat kembali kepada semasa pemerintahan Sultan Badaruddin-I ibni Sultan Salahuddin-Karamat yang memerintah sekitar tahun 1718 sehingga 1732.

Putera sulung Sultan Badaruddin-I yang bernama Datu Lagasan menaiki takhta Kesultanan Sulu dengan gelaran Sultan Azimuddin @ Alimuddin I.

Tetapi selepas pembaptisan baginda oleh para paderi Sepanyol di Manila sekitar tahun 1750, baginda telah menggunakan nama Don Fernando de Alimuddin (The Christian Sultan of Jolo). Jika mengikut hukum undang-undang kerajaan kesultanan Islam, hak Sultan Azimuddin / Alimuddin @ Don Fernando de Alimuddin dan keturunannya ini telah termansuh lantaran Pembaptisan baginda itu ke agama Kristian.

Sekitar tahun 1748, telah berlaku perbalahan di antara dua bersaudara ini. Oleh kerana Sultan Azimuddin @ Alimuddin-I telah memberikan kebenaran kepada para Jesuit dan Mubaligh Kristian Spanyol untuk menyebarkan doktrin agama Kristian di Sulu, maka perkara tersebut telah mendatangkan kemarahan kepada saudaranya, Raja Muda Datu Bantilan, yang merupakan putera Sultan Badaruddin I yang kedua.

Bagi mengelakkkan perbalahan itu berpanjangan, akhirnya Sultan Azimuddin-I bersama putera dan puteri serta beberapa orang pengikutnya yang setia telah bertolak ke Zamboanga, dan kemudiannya ke Manila dan diberi sambutan dan layanan yang baik oleh para pegawai Sepanyol dan para Jesuit Kristian.

Semasa ketiadaan Sultan Azimuddin @ Alimuddin I di Sulu, beberapa ahli Majlis Diraja Sulu dan rakyat Sulu telah bersetuju melantik Raja Muda Datu Bantilan menaiki takhta Sulu dan menjadi Sultan Sulu dengan gelaran sebagai Sultan Bantilan Muizzuddin. Baginda memerintah dari tahun 1748 sehingga 1763.

Takhta kesultanan Sulu kemudianya digilirkan antara beberapa pewaris daripada Keluarga Pertama dan Kedua ini. Hinggalah kepada Sultan Sulu yang terakhir daripada Keluarga Kedua iaitu Maharajah Adinda Sultan Muhammad Aranan Puyo.

Namun, memandangkan usia beliau yang telah lanjut dan tua, beliau kemudian menyerahkan takhtanya kepada seorang pewaris daripada Keluarga Pertama iaitu Sultan Jamalul Azam. Takhta Sultan Sulu kemudiannya dimonopoli sepenuhnya oleh Keluarga Pertama yang kemudiannya dikenali dengan nama keluarga 'Kiram'.

Memandangkan tempoh Maharajah Adinda Sultan Muhammad Aranan Puyo menaiki takhta tidak sampai seminggu, nama baginda sering digugurkan dalam senarai salasilah Sultan-sultan Sulu hingga menyebabkan hak keturunan Keluarga Kedua dinafikan dan tidak diketahui oleh para pewaris daripada Keluarga Pertama pada hari ini.

Waris daripada Keluarga Kedua ini kemudian dikenali dengan nama keluarga 'Maharajah Adinda' dan mereka masih mempunyai hak untuk menuntut takhta Kesultanan Sulu jika ia termansuh disebabkan oleh tindakan daripada Keluarga Kiram ini.


Petunjuk daripada Dalam geran yang ditandatangani bagi pajakan secara kekal bagi wilayah Sabah, dinyatakan sebanyak empat kali perkataan "Pewaris dan Penyambung" atau dalam Bahasa Inggerisnya "The Heir and Successor".

"Pewaris" yang dimaksudkan disini ialah Keluarga Kiram yang ketika itu memonopoli jawatan Sultan Sulu, sementara "Penyambung" yang dimaksudkan ialah Keluarga Maharajah Adinda, yang berhak untuk menuntut kembali takhta Kesultanan Sulu sekiranya terjadi apa-apa perkara yang menyebabkan ianya termansuh oleh Keluarga Kiram.

Pajakan yang dikurniakan oleh Sultan Sulu dahulu merupakan penyerahan secara kekal sebagaimana yang dinyatakan dalam perjanjian tersebut "selagi ada bintang dan cakerawala". Disebabkan itulah, mana-mana waris Kesultanan Sulu pada hari ini tidak boleh lagi mempersoalkan apatahlagi menuntut kekuasaan terhadap Negeri Sabah. Kuasa yang boleh dipohon oleh para waris Sultan Sulu yang benar-benar berhak hanya dari segi tuntutan wang pajakan semata-mata.